April 30, 2011

Ash Sharaya : Persemadian Abadi


Perkuburan Ash Sharaya di Mekah; persemadian bonda tercinta yang dijemput Ilahi pada tanggal 6 November 2010..

Dan dengan izin-Nya, kami dapat menziarahi selepas 5 bulan Mak bersemadi di sini. Hajat Abah dipermudahkan oleh-Nya, Alhamdulillah. Dengan bantuan kawan yang Abah kenal masa musim haji yang dulu, sampailah kami ke perkuburan Ash Sharaya.. bukan sekali tapi dua kali.

8 April, Jumaat - 3.00 petang.
Tengah menunggu sahabat yang nak membawa kami ke sana.
Haji Aris, warga Indonesia yang kerja kat Mekah dah 2 tahun.
Dari bandar Mekah - signboard menuju ke Muna.
Tak lama lepas tu akan nampak signboard Ash Sharaya. Akan melalui Jabal Nur [Gua Hira'] di sebelah kiri.

Jarak perjalanan lebih kurang 15km. Ash Sharaya ni masih dalam Tanah Haram, perkuburan ni hanya untuk orang luar/yang bukan penduduk Mekah. Kalau penduduk Mekah dikebumikan di perkuburan Muala - tak jauh dari Masjidil Haram.

Pintu masuk ke kawasan perkuburan.

Assalamu'alaikum Mak.. Ni Jai datang dengan Abah. Adik-adik dan menantu Mak kirim salam... Kami semua rindu sangat-sangat kat Mak :'(

Abah bertanyakan pasal kubur Mak dengan staf kat situ. Haji Aris jadik translatornya.

Mulanya kami khuatir kalau tak dapat identify mana satu kubur Mak. Kat sana kuburnya bukan macam kat sini ye.. Jauh berbeza. Cuma letak batu [batu biasa, bukan batu nisan yang bertulis nama pun] sebagai tanda setiap kubur. Tanahnye rata je.. takde bersimen marmar macam kubur kat sini. Even raja diorang pun kubur macam tu jugak. Semua yang pergi menghadap Ilahi sama je. Tapi alhamdulillah, kami lega sangat bila dapat tahu semua maklumat jenazah yang dikebumikan kat sini direkodkan.. dalam sistem komputer lagi. So Abah just bagi nama mak, tarikh meninggal dan tarikh kebumi. Then diorang bawak Abah dan tunjukkan mana satu kubur Mak. Dan Abah pasti tu betul kubur Mak - sebab Abah still ingat kedudukan masa kebumikan jenazah Mak dulu. Syukur.

Akhirnya dapat jugak Abah ziarah kubur Mak.. Sedih tengok Abah :'(
Ziarah kali yang kedua - 12 April, Selasa.

Selesai ziarah kedua dan terakhir sebelum pulang.. Selamat tinggal Mak... InsyaAllah akan datang lagi dengan adik-adik.

Actually aku tak dapat mengadap kubur Mak sebab kat sini wanita tak dibenarkan masuk ke perkuburan. Aku sedekahkan yaasin dan doa dari luar pagar jelah.. Takpelah, sekurang-kurangnya aku dapat menemani Abah datang ke sini. Bila tengok Abah happy dapat penuhi hajatnye tu aku rasa cukup puas. Abah dah tak terkilan lagi.. Tu yang Abah cakap lepas dapat ziarah kubur Mak. Walaupun sedih, tapi ada kepuasannya. Tambahan pulak kami dimaklumkan jenazah Mak takkan dipindahkan [sebelum ni dengar khabarnye akan berpindah - tak pasti pulak ke mana]. Malam lepas ziarah pertama tu Abah bertahallul terus botakkan kepala - tu nazar Abah kalau dapat jumpa kubur Mak. Syukur padaMu ya Allah kerana permudahkan segala urusan dan hajat bapaku...

Tenanglah Mak di sana.. Moga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan para solehah.. Amin.

April 28, 2011

Ibadah Umrah : Makkah al-Mukarramah



6 April 2011, lebih kurang jam 10 malam.

Rombongan kami tiba di Kota Suci Mekah. Dari jauh dah nampak jam besar Mekah yang gagah tu. Tak sabar nak ke Masjidil Haram - nak tengok Kaabah dengan mata kepalaku sendiri. Kami dah berniat ihram sebelum tiba kat sini [di Bir Ali - tanah halal]. Kami sampai tanah haram pun dah malam, tapi semua ahli rombongan bersetuju nak teruskan umrah malam ni jugak. Lepas check in, jam 11.30 malam kami bergerak ke Masjidil Haram bersama dengan sorang mutawwif [pengiring - aku tak perasan pulak namenye, panggil ustaz je]. Lega jugak ada mutawwif yang mengiring. So dialah yang akan memandu ibadah umrah kami yang pertama ni. Maklum la aku ni tak pegi kursus umrah pun, cuma baca buku-buku yang abah kasi pinjam dan UTAS [ejen] bekalkan. Kawan kat opis pun ramai gak yang dah pegi so diorang la jadi kaunter pertanyaan dan rujukanku hehe. Lagi pun aku pegi ni dengan abah so aku rasa lebih confident sebab dia banyak experience kat sana :)

Masuk je pintu no.1, pintu King Abdul Aziz - turun tangga sikit, maka nampaklah aku akan objek suci yang selama ni cuma dilihat di gambar dan di sejadah.. The holy Kaabah. Subhanallah.. Allahuakbar.. Perasaan aku? Speechless.. Bergenang air mata - terharu, suka, teruja, syukur.. Aku kini berdepan Kaabah yang jadi kiblat seluruh umat Islam di dunia! Kami mula bertawaf 7 pusingan keliling Kaabah dipandu ustaz. Kalau di Madinah ramai orang, kat sini laaagi ramai. Abah cakap dah macam musim haji. Pukul 1 pagi pun masih ramai lagi yang bertawaf.

Kaabah di Masjidil Haram, jam 1.00 pagi.

Selesai tawaf, terus ke Bukit Safa untuk buat saie - menuju ke Bukit Marwah. Ulang-alik 7 kali. Bagi aku boleh tahan juga jauhnya antara dua bukit tu then nak ulang-alik 7 kali lagi. Memang kena kuatkan semangat & fizikal ye. Bila dikenang balik sejarah saie ni, sangat respect pada Siti Hajar - si ibu yang berlari 7 kali ulang-alik di tempat yang sama tapi keadaan berbeza - di padang pasir semata-mata nak mencari air untuk anaknya Nabi Ismail. Kuatnya kasih  seorang ibu. Tapi keadaan saie sekarang ni dah cukup jaaaauh lebih baik - dah cantik berbumbung berdinding, lantai bersimen bagai.. kat level bawah ruang saie air-cond lagi.. pulak tu ada air zamzam boleh stop untuk minum kalau dahaga... Jauh lebih baik kan? Bersyukurlah kita...

Permulaan saie - Bukit Safa
Saie - lampu hijau tu menandakan kawasan untuk jemaah lelaki berlari-lari anak.


Rukun saie akan selesai di Bukit Marwah. So kat sini la tempat bergunting [bertahallul]. Maka selesailah ibadah umrah kami yang pertama.. Alhamdulillah.


Lepas umrah yang pertama tu, jemaah masing-masing bebas nak buat umrah seberapa banyak  mana pun yang termampu. Sepanjang kat Mekah aku dan abah dapat buat 5 kali umrah termasuk umrah untuk arwah Mak.. Syukur. 

"Ya Allah, Engkau sampaikanlah pahala umrahku kepada arwah ibuku...".

Memori Umrah bersama Abah
**Tawaf Wida' - tawaf selamat tinggal, dilakukan sebelum berangkat pulang meninggalkan Tanah Haram.

April 27, 2011

Masjid Nabawi


Rakaman suasana di luar Masjid Nabawi, Madinah. Masa ni aktiviti sesi ziarah dalam - otw nak ke perkuburan Baqi'. Waktu gini [pagi, sebelum zohor] memang time cleaner giat bersihkan persekitaran masjid. Payung-payung pun dah berkembang cantik :)



Rindu nak ke sini lagi..
Ya ALLAH, moga ini bukanlah ziarahku yang terakhir... amin.

April 26, 2011

Memori Umrah dan Ziarah : Madinah


Syukur. Syukur. Syukur pada Yang Maha Esa. Dengan izin-Nya aku dapat menjejakkan kaki ke tanah suci dambaan semua umat Islam. Keseronokan yang tak terucap. Betul kata orang, bila balik ke tanahair mesti rindu nak pergi lagi. Ada keistimewaan bila berada di sana.

Bagi keluarga kami, kerinduan dan keistimewaan tu makin dirasakan sebab insan yang tersayang bersemadi di sana. Alhamdulillah, hajat kami nak menunaikan Umrah dan juga nak menziarahi kubur Mak diizinkan Allah SWT. Bagi aku satu kepuasan yang amat sangat dapat menemani Abah ke sana, beribadah bersama-sama dan ziarah ke kubur Mak di Ash Sharaya.. Cukup puas. Aku yakin Abah mesti jauh lebih puas. Alhamdulillah.

Tu sebab Abah nak gi Mekah lagi - selepas 5 bulan Mak tinggal di sana. Abah nak jenguk semula isterinya kat sana.. Kami adik-beradik tak sampai hati nak biarkan Abah pergi ke sana sorang-sorang. So aku decide nak ikut temankan Abah. Dengan izin suami tercinta dan persetujuan adik-adik, sampailah aku ke bumi barakah bersama-sama dengan Abah...

Di KLIA sebelum berangkat. Ramai kaum keluarga datang menghantar termasuk keluarga mertuaku. Terima kasih.. Doa kalian mengiringi dan memberkati perjalanan kami...

3 April 2011- kami berangkat ke Jeddah menaiki pesawat Saudi Arabian Airlines jam 3 petang dan tiba di Airport Jeddah pukul 6.30 petang [waktu tempatan]. Penatnye duk dalam flight berjam-jam - almost 8 hours. Lebih kurang tempoh perjalanan JB ke Bota. Tapi tu jalan darat, boleh pit stop sesuka hati. Kalau dah terbang mana nak stop? Nak brek pun tak boleh haha.

Dah sampai Jeddah, lepas urusan passport [bukan sekejap urusan ye, kaunter diorang tak seefisyen kita. Serius cakap] kena naik bas for another 6 hours journey to Kota Madinah. Masuk je Kota Madinah dah nampak kelibat Masjid Nabawi.. Ya Allah, seronoknya dapat tengok Masjid Rasulullah SAW.

 
Berhadapan hotel penginapan.

Subuh tu berjalan kaki ke Masjid Nabawi.. Seawal jam 3 pagi dah ramai yang pergi ke masjid. Masing-masing nak merebut tempat bersolat dalam masjid. Ramainya umat Nabi Muhammad.. Semua bergerak pantas. Tiada istilah lenggang kangkung atau lenggang Mak Limah.

Sepanjang kat tanah suci tak ingat langsung pasal kerja menimbun di pejabat. Serius. Bukan buat-buat lupa tapi memang tak teringat langsung. Fokus hanya untuk beribadat. Walaupun penat - sebab asyik bergerak tapi seronok. Tengok cara hidup orang kat sana, bila azan berkumandang terus tutup kedai. Mana-mana yang jual longgok-longgok tepi jalan tu just tinggal camtu je. Seruan Ilahi diutamakan.

Ni checkpoint no.8 - tempat aku dan Abah berjumpa lepas keluar masjid. Signage in Arabic, kalau in English maksudnya men's toilet. Haha.

Patutlah kalau orang pergi haji bila balik mesti cakap biar pergi masa masih muda, fizikal masih kuat. Kat sana sentiasa exercise, jalan kaki pergi balik masjid satu hari lebih kurang 10 kali. Tu bergantung pada tahap kejauhan tempat menginap [tapi lagi jauh berjalan kaki lagi banyak pahalanya, kan?]. Pulak tu macam  trip umrah yang kami pergi kali ni manusia seramai-ramai tidak. Abah cakap dah nak sama macam musim haji. Rupa-rupanya bulan April ni cuti sekolah bagi Middle East.. Patutlah ramai bukan main yang datang! Turkish paling ramai dan diorang ni pun jenis main redah aje, suka langgar, himpit, tolak orang sesuka hati. Kita ni yang kaya budi bahasa terpaksa jugak ikut rentak diorang, kalau kau pasrah je alamatnye sampai lembik la kau dihimpit ditolak. Tak payah la nak lintas depan sambil menunduk sopan. Ada aku kesah?? Gitulah lebih kurang.


Sandal cap Bowling yang sangat berjasa.. Sangat comfort walaupun harga tak sampai 10 hengget. Tahan lasak woo.. Ni lah sandal yang aku pakai ulang-alik masjid sepanjang berada kat sana. Stoking yang dipakai tu jarang ye, menampakkan kuku kakiku yang bersinar itu :P maka tak aci kalau dibawak solat.  So mesti ada lapisan kedua.


Bila tiba kat masjid, aku sarungkan pulak sarung kaki jepun nih utk bersolat. Kat sini pakai telekung je tak payah full set dengan kain. Pakai siap-siap dari bilik lebih senang. Lagipun telekung tu sebagai protection kita nak jaga wudhuk, kut-kut terlanggar dengan lelaki. Tapi yang pakai telekung pun cuma orang Malaysia dan Indon je..



Rindu nak bersolat dan mengaji di Masjid Nabawi.. Tu tangkapan gambar secara bersembunyi ye. Nak tangkap secara terang-terangan takut kena sergah dengan "mak guard" masjid. Kat Masjid Nabawi ni mak guardnye garang-garang belaka. Nak masuk masjid je mesti ade bag inspection. Habis semua barang dalam beg digeledahnya. No handphone no camera. Kalau nak seludup gak [macam aku hehe] kena pandai-pandai cover. Walaupun kau pakai telekung jangan ingat bleh sorok beg yang kau bawak. Diorang siap selak lagi telekung kita. Kalau sesiapa yang dapat ke Masjid Nabawi nanti jangan lepaskan peluang ke Raudhah ye. Tapi ruang Raudhah untuk wanita agak kecil, so memang akan berebut tempat. Kena banyak bersabaaaar kat sini.

Kedai jualan di Madinah. Macam-macam ada... Penjualnya kalau nampak orang Malaysia terus promote dalam Bahasa Melayu. "Malaysia baguss...". Tapi kalau tak beli dikatanya kita kedekut pulak. Haha.

 Yang ni pulak meniaga yang tak berdaftar. Kalau polis serbu bertempiaran la memasing menyelamatkan diri dan barang jualan [serupa kat Petaling Street gak la]

Dalam masa jadual yang agak singkat di Madinah [3 hari 2 malam], sempat juga menemani Abah menjenguk hotel penginapan Abah dan Mak masa musim haji yang lalu.. Al-Haram Hotel. Hotelnya agak jauh dari masjid, dan Abah cakap sepanjang kat Madinah sekali je Mak ke masjid. Selebihnya Mak dah tak larat berjalan - cuma solat di bilik je.

Bilik 1201, Al-Haram Hotel - Ni lah bilik Mak masa musim haji yang lepas.
Abah tapaukan makanan, pastu bentang tikar dan makan sama-sama dengan Mak depan bilik ni.
:'(

Kuat betul semangat Abah nak mengimbau momen-momen akhirnya bersama Mak. Tak sabar nak ke Mekah, tapi sedih nak tinggalkan Madinah, bumi yang tenang dan aman... Banyak istimewanya kat sini. Sayu nak tinggalkan Masjid Nabawi yang indah tu...

... tbc

April 14, 2011

Kepulangan dan Ketibaan


Alhamdulillah, kami telah selamat tiba di KLIA lebih kurang jam 1.00 petang, menaiki pesawat SV832 dari Jeddah Airport pukul 11.30 malam [waktu Jeddah] hari sebelumnya.

Ketibaan disambut adik-beradik dan kaum keluarga.. Terima kasih banyak-banyak sudi datang menyambut :) Syukur pada Allah SWT juga kerana mengurniakan kami kesihatan yang baik sepanjang berada di sana terutama Abah yang sangat cergas. Aku cuma batuk je [tu memang standard] dan suara pun bertukar ala rocker :P

Upon arrival. Pic credit to my bro, Ajam. The lady gagah in between - is my sefufu. Thanks for coming beb!

Perjalanan pulang masih belum tamat. Abah ke Bota dan aku sambung fly lagi to Senai Airport and arrived safely @6.30pm. Glad to see my darling hubby with my 2nd bro, Amir yang datang menyambut :)

Kepenatan dek almost 10 hours berterbangan di udara masih terasa. Tapi pengalaman dan kenangan beribadah di sana tak terperi nikmatnya. Rindukan suasana di Tanah Suci. InsyaAllah, entri perkongsian pengalaman akan menyusul. Promise :) 

April 01, 2011

Destinasi Agung


Salam... rakan bloggers and silent readers [if any],

InsyaALLAH jika dengan izinNya, pada 3 April ini saya akan berangkat ke Madinah dan seterusnya ke Kota Suci Mekah untuk mengerjakan ibadah Umrah bersama Ayahanda tercinta.. Dengan ini saya memohon ampun maaf ye kalau ada salah-silap-tersasul sama ada secara lisan atau bertaip :) Doakan perjalanan kami selamat pergi dan  selamat kembali serta dikurniakan kesihatan tubuh badan untuk beribadah di sana.. Dan moga Allah SWT permudahkan hasrat kami nak menziarahi pusara Bonda tercinta yang bersemadi di perkuburan Ash Sharaya, Makkah al-Mukarramah.

InsyaALLAH sekembali nanti akan bercerita dan berkongsi pengalaman...


"Ya ALLAH, Engkau permudahkan jua hasrat suamiku dan adik-adikku serta kaum keluarga untuk mengunjungi Baitullah-Mu dan menziarahi pusara Mak suatu hari nanti.. Amin."

Wassalam.
 
 

MzMy Zone Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez